A Malay post for you, especially for you!
Bayanganmu sememangnya teman setiaku mengharungi kesejukan malam, yang tanpa henti menggigit-gigit benteng-benteng jasad dan rohku. Aku jarang berpuisi, aku jarang bermadah, aku jarang bersandiwara, dalam bahasa ibunda. Tidak ku mengharap perhatian, tidak ku mengharap pautan, tidak ku mengharap bait-bait kepastian darimu. Tidak jua ku mengharap dirimu merasuk diriku dengan seruan kegembiraan. Aku hanya ingin menulis, menulis ayat-ayat cinta, yang bisa menyusun sepahan kegilaanku, yang semestinya, padamu.
Tarian kata-katamu, yang semestinya seindah butiran-butiran mutiara dagangan Andalusia, alunan nada suaramu yang persis unsur-unsur musikal dewata purba, senyuman lewat malam mu yang semestinya umpama lukisan-lukisan pusaka, semuanya ku puja. Bahasa tubuhmu kaku di matamu, hidup di mataku. Sentuhan renunganmu membangunkan zarah-zarah badanku yang keletihan dan nyaris nyawa-nyawa ikan. Aku sayu tanpamu di depanku. Aku pilu tanpamu di pandanganku. Aku gentar, gerak ke lautan kematian, tanpamu di ruangku, tanpamu di dataran kehidupan, tanpamu mengisi kekosongan ini.
Aku ingin kan dirimu kembali, menjadi tetamu malamku. Aku ingin kan diri mu menjengah masuk ke teratak ini, teratak yang rapuh tanpamu. Aku ingin melihat wajahmu. Wajahmu wajaku; wajahmu merombak bingkisan kekalutan kilat-kilat dusta yang menyelebungi awanku, merompak matawang dunia perasaan yang memufliskan, menyampak bisikan sampah-sampah syaitan penipuan, dari jiwaku. Aku jiwang karat, aku pungguk rindukan bulan, aku sang romeo, aku rindukan mu.
Bukan salahmu aku rindukan mu, bukan salahku jua. Kerinduan datang sebagai kerinduan, kerinduan ini bukan palsu, ia kerinduan yang menusuk kalbu. Citra malamku hanya darimu. Warna-warni pelangi malamku datang darimu. Dia tidak sama, Si Fulan tidak sama. Si A tidak sama. Si B tidak sama. Tukang turut mereka semua. Dirimu berbeza. Dirimu adalah dirimu. Penghapus sengketa yang bisa membuatku terkasima, terpesona, dan bercahaya. Aku kepingin senyumanmu, senyuman sang pencinta, sang pujangga manis bermadah dengan kata-kata. Itulah senyumanmu.
Kesempurnaanmu ingin ku capai, ingin ku rasa, ingin ku sentuh, ingin ku tawarkan kekaguman, dan ingin ku bersihkan dari cacat cela. Gema gempita alunan cinta, bersinar bersuara dari wajahmu. Aku bukan penipu bila bersuara, aku bukan berseloka bila bergelak tawa, aku bukan pelawak bila berbicara. Sang pesona asmara, diriku rindukanmu. Rindukan mu.
Senja yang megah dengan meganya, siang hari yang meriah dengan surianya, dan malam yang menyejukkan dengan purnamanya, hancur lupus semua, tanpamu. Ronda-ronda tandu kestabilanku berakhir di jalan dingin, di sudut akhir. Rona-rona luka meraut-raut rawatan. Riuh-rendah sang pedang pertahanan. Rosak punah kubu pertahanan. Musnah sudah ikatan-ikatan kegembiraan. Ingin ku lihat wajahmu. Sekali lagi. Sekali lagi, ingin ku kata, ingin ku lihat wajah mu.
Akan ku relakan kau cucuk hatiku, akan ku relakan kau melengahkan ku, akan ku relakan kau membazirkan percikan masa ku. Akan ku relakan kau kaburkan mataku. Demi dirimu jasad seni yang mempesonakan. Akan ku redhakan seribu penipuan. Akan ku redhakan sejuta kesibukan. Akan ku redhakan senaskhah kedukaan. Dirimu ku kejar, dirimu ku sambar, dirimu ku gambar. Tidak ada yang lain. Tidak ada.
Kesumatku hilang kerana keramatmu. Kalam-kalamku tidak berhenti berdansa untuk mu. Dirimu membasahkan dakwat-dakwat yang kekeringan. Dirimu menjamu kelaparan yang teramat. Dirimu mendahagakan. Dirimu luar batasan pemikiran.
Aku segar dan mekar, setiap detik aku membayangkan dirimu. Riwayat ku terasa panjang, rusuk-rusuk asmara membohong fakta, tetap ku rakus percaya. Dirimu mimpi, dirimu impian. Dirimu sang pujangga cinta, dirimu sang pelakar asmara. Wajarlah duniaku jika kau ada. Aku gila, memuja dirimu. Salah bahasaku, salah obssessiku, salahku, bukan salahmu.
Kau saksi keikhlasanku, kau hakim kebijaksanaanku. Kau pendakwa raya fitnah cintaku. Aku pesalah asmara. Aku perindu auta. Aku tertuduh, aku terkutuk, dirimu jua setia memupuk. Aku indah denganmu. Aku dengar syair-syair cinta ketika bersamamu. Aku menghidu hembusan syurga ketika lena disampingmu. Aku menghirup nafas keabadian darimu.
Aku laksamana longlai, yang ingin dibelai, tatkala kau muncul di celah ramai. Aku mabuk di sisimu. Mabukku bukan mabuk titisan syaitan, mabukku mabuk airmata perawan. Tujahku dengan lembing, tidak ku lembik. Tujahku dengan senyumanmu, kekuatanku gugur dipetik. Aku bukan aku bila kau sapaku. Aku mengenali diriku yang tidak pernah ku kenal, atau tidak pernah ku sedar. Aku tertegun sekilas kau ada. Aku rasakan Jannah. Aku lupakan Jahanam. Puitisnya aku, berdosanya aku.
Aku biduandamu, aku marsyal mu, aku pahlawanmu, dan aku sesungguhnya sarjanmu. Panggillah aku jika kau perlu. Aku lebih dari mahu. Aku gila, sangsi dengan kesatuan minda. Keranamu, mungkin. Salahmu, tidak. Dirimu tidak pernah gagal buat ku terperanjat. Kubah jiwamu ingin ku panjat. Hingga semua peluh ku tersejat. Agar semua ini kekal hangat.
Aku rimas tanpamu, bukan denganmu. Aku lemas tanpamu, bukan denganmu. Aku bersengketa dengan jiwaku keranamu. Kau impian purba, kau impian sang teruna, kau impian segalanya. Kau ialah kau, jampi yang tidak pernah mati. Kasarmu ku maafkan, burukmu ku tolerasi. Sentap jiwa ku dengan tangisan-tangisan dan aduan-aduan, tidak akan ku rasa paksaan. Bunyi-bunyi darimu adalah bayu, yang syahdu, yang larat membersih jerebu.
Banjir kerelaan untuk mu, membuak-buak mata air keseronokan. Aku mahu kau ada. Aku mahu kau ada, Aku mahu kau ada. Kini, dan selamanya. Aku gila, hilang minda, gagal mengenal fakta, ketika kau tiada. Aku berbicara dengan kertas, menyembah bait-bait hasrat, terasa berat, sepanjang kau tiada. Aku hilang rohku. Aku ingin kau kembali. Kembali merancakkan sayembara ini. Kembali menggerakkan kapal-kapal kemaraanku. Kembali kepadaku, tanpa ragu.
No comments:
Post a Comment