Aku mahu mati. Jika hari esok berulang lagi tanpa dirimu, aku rela mati. Hari ini sudah keparat, jahanam, bukan kepalang. Hari semalam dipenuhi gerimis dan hujan lebat. Hari esok sudah kukesan bayangan gempa dan kilat. Aku tidak bisa lagi mendengar deria-deriaku mengadu kesakitan, dihimpit dinding-dinding kubur kesengsaraan. Aku seram sejuk menghitung hari-hariku di bumi.
Aku terbayang-bayang diriku menjadi mayat hidup; sejuk, beku, pucat, dan ditinggalkan. Aku beradu dengan emosi kasarku siang dan malam. Aku bertapa di gua paksaan. Aku ditekan-tekan sangkar pencapaian. Pencapaianku sering dibanding-bandingkan, oleh mereka yang sentiasa hampa, yang sentiasa gagal mengukir senyuman. Aku gagal setiap hari tanpamu.
Aku sebak tiap kali fajar bermula. Bergema-gema jeritan ketaksuban pada kebebasan. Aku letih, lesu, merayu pada yang ghaib, pada yang sepatutnya memberi. Aku ragu dengan pembalasan murni. Aku hanya diperlihatkan barang-barang neraka kebencian. Aku hanya dihadiahkan bilik penjara atas nama kebajikan. Aku hanya dihidangkan makanan tanpa zat dan khasiat, untuk bekalan . Aku hanya dipandang untuk diketawakan. Aku dimaki, diherdik, dan diludah, di jalanan. Aku tidak dipandang walaupun mentari menyinar. Aku tidak wujud bagi mereka. Fajarku tidak bermakna apa-apa. Tangisan subuhlah temanku. Ke malam ku bawa titisan-titisan air mataku. Ke hari esok ku melangkah, hanya untuk bergerak dalam roda yang sama; roda yang hasad padaku, yang pastikan aku kekal di bawah, gagal memanjat mencari sinar sebenar.
Semuanya gagal menjalinkan jaringan-jaringan harapan. Semuanya hanya ikatan-ikatan kabus. Aku meronta inginkan konkrit yang benar dalam kehidupan. Aku mahu lari tapi aku tiada destinasi. Titi-titi harapan palsu sentiasa dibina oleh hantu-hantu kebodohan. Bangang. Bodoh. Tolol. Aku benci semuanya. Aku rasa aneh tanpamu. Kehidupanku ku anggap kematianku. Kegembiraanku ku anggap bayangan kesedihanku. Aku rapuh tanpamu, rapuh, rapuh , serapuh-rapuhnya. Serapah jampi ingin ku jadikan zikirku. Serapah jampi ingin ku jadikan rukun-rukun pendirianku.
Aku hanya mahu kau kembali, agar berkat syurga sampai ke struktur rusukku. Aku hanya mahu kau kembali, agar azimat kayangan sampai ke selaput tengkorakku. Aku hanya mahu kau kembali, memberi definisi baru kepada punca-punca darahku. Aku hanya mahu kau kembali, memberi tafsiran baru kepada diriku. Yang mati biar mati. Yang hidup biar hidup. Mengapa sukar yang hidup untuk menghembus nafas kepada yang mati? Mengapakah perlu yang hidup mengikut hukum, sekadar memandikan, mengkafankan, dan mengebumikan yang mati? Mengapa perlu dirimu mengikut hukum ini? Mengapa aku yang dimatikan tatkala yang sakit tidak berharapan, yang keji, dan yang tidak berfungsi masih dibiarkan mencorak visi seterusnya? Aku mangsa ketidakadilan. Aku mangsa ketidakbetulan system. Aku hanya mahukan engkau, perawan pemberi harapan.
Arus kegelapan, arus ketidakberakhiran, arus keburukan, dan sudah pastinya tanpa rintangan, arus kebuntuan sentiasa meluru ke arahku. Ombak-ombak lava neraka sentiasa menenggelamiku. Aku serabut, inginkan kau sambut. Aku bercelaru, inginkan kau meluru, ke arah ku, ke arahku, sehingga kita bertemu. Selamatkanlah diriku yang kelemasan. Selamatkanlah diriku yang kehausan. Selamatkanlah diriku yang kelaparan. Selamatkanlah diriku yang dalam kejatuhan. Selamatkanlah diriku. Selamatkanlah. Aku mahu hidup.
No comments:
Post a Comment